Ahad, Disember 26, 2010

RUMAH KEDAH

Inilah bentuk rumah tradisional Melayu Kedah. Bahagian rumah terdiri dari rumah ibu, serambi, dapur, pelantar dan pelenggar. Rumah ibu digunakan sebagai ruang meraikan tetamu dan juga ruang tidur keluarga, anak-anak lelaki dan perempuan diasingkan kerana biasanya rumah Kedah tidak mempunyai bilik.
Bahagian serambi biasanya untuk menyimpan barang-barang, pelantar atau dinamakan juga sebagai "jemuran" berlantaikan buluh dan tidak beratap digunakan sebagai tempat menjemur.
Pelenggar pula terletak di bawah rumah digunakan untuk berehat atau tempat bersembang dengan jiran-jiran kerana masyarakat Melayu tradisional Kedah terkenal dengan budaya ziarah menziarahi sesama jiran.

Jumaat, Disember 24, 2010

MASJID SALAHUDDIN AL-AYYUBI

Masjid Salahuddun al-Ayyubi, Padang Besar, Perlis... sedikit sebanyak seni binanya mempunyai ciri-cii seni bina Siam. Jika anda berkunjung ke Padang Besar, Perlis untuk bercuti bersama keluarga sambil membeli belah... masjid ini menjanjikan keselesaan dan kedamaian bagi para musafir menumpang solat.
Ia mememiliki halaman dan ruang meletek kenderaan yang luas, dilengkapi dengan pondok wakaf untuk berehat.

Bentuk menara dan pintu masuknya jelas mempunyai seni bina Siam, sama seperti beberapa buah masjid di selatan Thailand.
Pemandangan indah ketika anda merentasi ladang tebu yang luas antara Cuping ke pekan Padang Besar.

Selasa, Disember 21, 2010

MEGHEDIN - SEJENIS PALMA HUTAN

Bunganya masih diperingkat muda ... tidak menjadi tumpuan kumbang dan rama-rama kerana ia tidak mengeluarkan sebarang bau atau madu.
Bunga yang memasuki peringkat matang dan mula memutikkan biji-biji kecil untuk menghasilkan buah. Ia menjalani tempoh ini lebih kurang tiga hingga empat bulan sebelum menjadi buah yang matang.
Akhirnya .... buah pun terhasil dari perkembangan bunga tadi
Nampak cantik dan menarik ... seakan-akan buah kabung yang boleh dimakan... tetapi ini bukan buah kabung walaupun dari spesis yang sama .... kalau di pedalaman Kedah pokok ini dipanggil Meghedin... buahnya gatal bagi orang berkulit sensitif....walau bagaimanapun umbut pokok ini boleh dijadikan ulam setelah direbus terlebih dahulu...

Selasa, Disember 14, 2010

PELANDUK

Pelanduk atau kancil (Tragulus javanicus) ini berwarna coklat kemerahan dan berjalur putih di bawah dagu hingga ke dada. Ia termasuk dalam famili Tragulidae, tingginya antara 20 - 25cm dan panjangnya antara 27 -42cm.
Pelanduk ini boleh dijumpai di selatan Myanmar, Thailand, Indi-China dan Indonesia. Di Malaysia, ia biasanya mendiami hutan tanah pamah dan kaki bukit, kelihatan juga merayau-rayau di tebing sungai, kawasan tanah paya dan kebun sayur.
Pelanduk dikatakan cergas pada malam hari, selalunya ia bersendirian, kadangkala berpasangan atau dengan anaknya. Makanannya terdiri dari daun-daun kayu, tumbuhan kecil dan buah-buah yang jatuh. Ia jarang berbunyi tetapi apabila diganggu ia akan mengeluarkan bunyi yang nyaring.
Pelanduk melahirkan seekor anak biasanya dan kadang-kadang kembar. Anaknya berbulu tebal dan mula cergas selepas dilahirkan.

Jumaat, Disember 10, 2010

CIPTAAN ALLAH YANG MENAKJUBKAN

Hidupan laut yang menakjubkan ..... semua makhluk Allah tidak dijadikan sis-sia .... melainkan semuanya mempunyai peranan dan fungsi yang tersendiri ....

Jumaat, Disember 03, 2010

TANPA TEKANAN HIDUP....

Segala ciptaan Allah ... tumbuh-tumbuhan, binatang, gunung-ganang dan sebagainya adalah "ayat-ayat Allah" .... pada mereka terdapat tanda-tanda kebesaran Allah dan perbandingan bagi kita manusia untuk mensyukuri kurniaan Allah kepada kita....
Kucing... hidup tanpa tekanan... itu bezanya antara kita manusia yang digelar sebaik-baik kejadian.... kita ada tanggungjawab, dipertanggung jawabkan dengan ibadah kepada Allah, bekerja mencari nafkah keluarga... memelihara ahli keluarga dari bahaya api neraka... bertanggungjawab memperjuangkan ISLAM dan memenangkan ISLAM... amar makruf dan nahi mungkar....
Jika kita tidak peduli tanggungjawab itu semua ... kita lebih hina dari kucing ini....

Khamis, November 18, 2010

NANAS HIJAU

Nanas ialah tumbuhan monokotiledon dalam famili Bromeliaceae, berasal dari Amerika Selatan. Ia adalah sejenis tanaman saka.

Isnin, November 08, 2010

TANDA AKHIR ZAMAN

AJK masjid terpaksa meletakkan papan tanda memaklumkan seluruh kawasan masjid adalah zon menutup aurat .... tujuannya untuk menghindarkan puak-puak "gasar" yang tidak menutup aurat daripada memasuki kawasan ini ....

Sebenarnya ... seluruh dunia ini adalah "zon menutup" aurat, kerana dunia ini adalah ciptaan Allah ... bumi yang dpijak oleh puak "gasar" yang enggan menutup aurat adalah ciptaan Allah .... dan perintah menutup aurat juga datangnya dari Allah ....

Maka .... sesiapa yang enggan menutup aurat seperti perintah Allah .... carilah bumi lain selain bumi ini untuk kamu berpijak , kerana tuan punya bumi ini tidak inginkan kamu berada di sini .... seluruh bumi ini adalah zon menutup aurat ....

Jumaat, Oktober 22, 2010

POKOK DI ATAS BANGUNAN

Sebuah bangunan lama terbiar di tengah bandar.... ditumbuhi pokok yang kian membesar...
berbagai persepsi pada pandangan orang.... ada yang mengatakan... jijik... kotor ... terbiar.., lambang kelemahan pengurusan sesebuah bandar....

Ada juga yang mengatakan ..... aneh... unik dan menakjubkan....

Lokasi : Utara Semenanjung Malaysia.

Rabu, September 22, 2010

DAMAINYA DI SINI

Damainya di sini.... desa di tengah sawah, pemandangan indah.... bebas dari kesibukan manusia, segala hiruk pikuk dunia seperti di kota.... mengejar masa, kerja seiring usia, penipuan.... kedurjanaan dan segala....

Di sini.... hidup sederhana... tiada kad kredit, perabot mahal dan pesona dunia.... namun.... tidur mereka lena...tiada hutang mencengkam jiwa.... ada masa untuk agama.... pendapatan mereka kecil... yang "kecil" itu mampu membeli kehidupan yang bahagia....


Lokasi : Pendang, Kedah.

Isnin, September 13, 2010

SARANG BURUNG CAPA

Sarang burung capa... dibuat dari daun dan rumput kering... kukuh dan kemas buatannya, karya seekor unggas kecil yang tidak pernah mendapatkan kursus kemahiran di mana-mana... mampukah kita menghasilkan "karya" seperti ini....
Kuasa Allah... memberikan kemahiran semulajadi kepada semua makhluk tak berakal... mereka hanya punyai naluri... dengan naluri ini mereka membina kediaman... membiak, membesarkan anak, berkeluarga... tidak pernah mengabaikan tanggung jawab... tidak pernah sama sekali membuang anak... sesungguhnya pada kejadian alam ini terdapat tanda-tanda kekuasaan Allah...

Jumaat, Julai 16, 2010

CENERAI @ KENERAI

Cenerai atau kenerai mula berbunga pada bulan Februari hingga bulan Mac, pada peringkat ini bunga cenerai masih menguncup dan mengambil masa yang lama untuk kembang dan menzahirkan dirinya sebagai bunga.
Sebulan kemudian, bunga cenerai mulai berkembang.... kelihatan cantik tetapi tidak berbau harum. Peringkat ini juga mengambil masa yang lama, sehinggalah bunga ini menjelma menjadi putik buah cenerai.
Buah cenerai mulai terhasil dari bunga tadi pada bulan Mei hingga Julai, buahnya yang putik rasanya kelat dan kaya dengan fiber. Apabila masak lebih kurang dua bulan kemudian, ia bertukar warna menjadi hitam.
Pada ketika inilah pohon cenerai menjadi tempat tumpuan burung-burung seperti burung dari jenis merbah dan capa.

Bagi anak-anak kampung.... buah cenerai dijadikan peluru senapang buluh, sejenis permainan anak-anak kampung pada suatu ketika dahulu... kini usiaku 42 tahun.... terimbau kembali kenangan manis di zaman kanak-kanak aku pernah bermain senapang buluh bersama rakan-rakan... sesekali bila ada cenerai yang masak... kami makan beberapa biji... rasanya manis.

Sesungguhnya pohon cenerai tidak asing lagi bagi masyarakat Melayu, kayunya walau pun agak lembut... ia turut digunakan untuk dibuat peralatan tertentu dalam masyarakat Melayu.... sehingga pohon cenerai diabadikan dalam pantun-pantun Melayu antaranya :

Mengkudu rendang di tengah padang
Berbanir jauh pohon cenerai
Rindu datang tanpa diundang
Air mata jatuh berderai.

Ahad, Julai 04, 2010

KEDAMAIAN DI PERKAMPUNGAN

Teluk Bayu, Bukit Kecil, Sungai Petani, Kedah..... perkampungan Melayu lebih kurang 15 km dari Bandar Sungai Petani.
Pemandangan yang mendamaikan waktu pagi di Teluk Bayu... di sini terdapat chalet untuk pemancing, perkhidmatan bot untuk memancing dan bersiar-siar menikmati pemandangan.
Aktiviti nelayan secara kecil-kecilan juga terdapat di sini.... perkhidmatan kem aktiviti pendidikan luar disediakan oleh D'OMLAND.... berkayak, perkhemahan kokurikulum dan merentas hutan bakau.

Rabu, Jun 30, 2010

BELALANG KUNYIT

Belalang Kunyit atau nama saintifiknya Valanga nigricornis ialah sejenis belalang bewarna kuning kehijauan yang boleh dimakan kerana ia merupakan sumber protein yang baik.

Dalam bidang pertanian, belalang kunyit diangap sebagai perosak. Serangga dewasa dan nimfa (anak belalang) melakukkan kerosakan dengan memakan daun tutup bumi di estet getah dan ladang kelapa sawit.


Rabu, Jun 23, 2010

PETAI BELALANG

Petai belalang nama saintifiknya Leucaena leucocephala juga disebut dengan nama lain seperti jering monyet, keceh dan saga serong. Pokoknya tidak begitu besar, namun begitu ketinggiannya boleh mencapai 10 meter.
Buah petai belalang kaya dengan serat dan mengandungi protin yang tinggi sebagai makanan kepada ternakan seperti lembu dan kambing. Ternakan yang diberi makan buah petai belalang akan menghasilkan susu yang banyak. Pucuknya pula menjadi makanan kegemaran rusa.
Ia dikatakan berasal dari kawasan antara Himalaya Timur hinggalah ke Kepulauan Filipina. Ia juga ditemui hingga ke Mexico. Sebenarnya buah petai belalang sudah lama menjadi sebahagian daripada juadah menyelerakan kepada masyarakat Melayu Tradisi, ia dijadikan sambal dan ulam. Kayu pokok petai belalang pula sering dijadikan ulu dan sarung pisau, kayunya amat sesuai untuk diukir dan dibentuk serta tahan lama.

Khamis, Jun 17, 2010

POKOK PUDING

Puding atau nama botaninya Codiaeum Variegatum sejenis tumbuhan renek dijadikan tanaman hiasan kerana daunnya yang berwarna warni. Ia dipercayai berasal dari kepulauan Fiji dan juga dikatakan berasal dari kepulauan Maluku.
Warna daunnya akan bertambah cerah dan menarik jika mendapat cahaya matahari yang cukup. Daunnya berbagai bentuk dan pokok puding ini amat mudah untuk ditanam, hanya menggunakan keratan batangnya.

Selasa, Jun 15, 2010

PETAI

Petai atau nama botaninya Parkia Speciosa adalah tumbuhan asli Malaysia. Pokoknya boleh tumbuh 20 hingga 25 meter tingginya, hidup liar di hutan-hutan dan banyak juga ditanam oleh orang-orang Melayu.

Buah petai mulanya berwarna hijau muda, kemudian semakin lama menjadi hijau tua dan akhir sekali setelah masak ia bertukar warna hitam. Tiap-tiap satu buah petai yang biasanya disebut sepapan petai mempunyai biji benih antara 12 - 18 biji. Biji inilah dimakan dan kadang-kadang dimakan dengan kulitnya sekali. Keenakan rasa petai bila jadikan masakan mahupun ulam tidak perlu diceritakan lagi kepada masyarakat Malaysia....
Pohon petai pula berkayu keras dan boleh digunakan untuk membuat peralatan seperti ulu cangkul, ulu parang dan sebagainya. Petai yang tumbuh liar di hutan, buahnya yang masak menjadi makanan burung, biasanya setelah buahnya masak, pohon petai hutan dikunjungi burung-burung seperti burung puling dan tiung .

Khamis, Jun 10, 2010

MEMPELAS

Dinamakan Akar Mempelas atau nama botaninya "tetrcera indica" adalah sejenis tumbuhan menjalar, hidup subur dengan memanjat tumbuhan lain di belukar dan hutan. Ia juga berbuah dan mengeluarkan bunga yang harum.
Akar dan daunnya bersifat kesat, boleh melukakan jka terkena kulit, pada masa dahulu daunnya digunakan oleh masyarakat Melayu untuk melicinkan hulu dan sarung keris.
Akarnya yang tua pula jika dipotong akan mengeluarkan air dan boleh diminum. Walau bagaimana pun akar mempelas tidak digunakan sebagai tali pengikat kerana ia amat rapuh dan mudah putus.