Khamis, Mei 20, 2010

MENGKUDU

Mengkudu atau nama botaninya Morinda Citrifolia sejenis pokok berdaun kembar, banyak didapati tumbuh di Semenanjung Malaysia dan negeri-negeri yang beriklim serupa dengannya. Batangnya licin dan berwarna kelabu, rantingnya pula mudah patah. Teras kayunya berwarna kuning, kononnnya di zaman Jepun dahulu ( Perang Dunia ke-2) , teras kayunya dijadikan serbuk untuk digunakan sebagai pewarna dalam masakan.
Mengkudu berbunga sepanjang tahun dan buahnya akan matang dalam masa 4 bulan. Buah dan pucuknya mempunyai nilai perubatan yang sangat tinggi, pucuknya boleh dijadikan ulam, buahnya diproses untuk dijadikan jus minuman kesihatan. Di Sabah, suku Bajau Laut atau dipanggil Pala'uk menjadikan buah mengkudu sebagai makanan dan dimakan segar sebaik sahaja dipetik, tidak hairanlah golongan Pala'uk ini muncul sebagai pelaut atau gipsi laut yang sangat tahan lasak, jarang mendapat penyakit walaupun sering terdedah kepada cuaca yang tidak menentu.
Mengkudu hutan biasanya tumbuh berumpun dan rendang, buahnya bersaiz kecil dan kehijauan, manakala mengkudu yang ditanam untuk tujuan komersial, pokoknya tidak rendang, berdaun lebar, buahnya lebih cerah dan bersaiz lebih besar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan