Rabu, Jun 30, 2010

BELALANG KUNYIT

Belalang Kunyit atau nama saintifiknya Valanga nigricornis ialah sejenis belalang bewarna kuning kehijauan yang boleh dimakan kerana ia merupakan sumber protein yang baik.

Dalam bidang pertanian, belalang kunyit diangap sebagai perosak. Serangga dewasa dan nimfa (anak belalang) melakukkan kerosakan dengan memakan daun tutup bumi di estet getah dan ladang kelapa sawit.


Rabu, Jun 23, 2010

PETAI BELALANG

Petai belalang nama saintifiknya Leucaena leucocephala juga disebut dengan nama lain seperti jering monyet, keceh dan saga serong. Pokoknya tidak begitu besar, namun begitu ketinggiannya boleh mencapai 10 meter.
Buah petai belalang kaya dengan serat dan mengandungi protin yang tinggi sebagai makanan kepada ternakan seperti lembu dan kambing. Ternakan yang diberi makan buah petai belalang akan menghasilkan susu yang banyak. Pucuknya pula menjadi makanan kegemaran rusa.
Ia dikatakan berasal dari kawasan antara Himalaya Timur hinggalah ke Kepulauan Filipina. Ia juga ditemui hingga ke Mexico. Sebenarnya buah petai belalang sudah lama menjadi sebahagian daripada juadah menyelerakan kepada masyarakat Melayu Tradisi, ia dijadikan sambal dan ulam. Kayu pokok petai belalang pula sering dijadikan ulu dan sarung pisau, kayunya amat sesuai untuk diukir dan dibentuk serta tahan lama.

Khamis, Jun 17, 2010

POKOK PUDING

Puding atau nama botaninya Codiaeum Variegatum sejenis tumbuhan renek dijadikan tanaman hiasan kerana daunnya yang berwarna warni. Ia dipercayai berasal dari kepulauan Fiji dan juga dikatakan berasal dari kepulauan Maluku.
Warna daunnya akan bertambah cerah dan menarik jika mendapat cahaya matahari yang cukup. Daunnya berbagai bentuk dan pokok puding ini amat mudah untuk ditanam, hanya menggunakan keratan batangnya.

Selasa, Jun 15, 2010

PETAI

Petai atau nama botaninya Parkia Speciosa adalah tumbuhan asli Malaysia. Pokoknya boleh tumbuh 20 hingga 25 meter tingginya, hidup liar di hutan-hutan dan banyak juga ditanam oleh orang-orang Melayu.

Buah petai mulanya berwarna hijau muda, kemudian semakin lama menjadi hijau tua dan akhir sekali setelah masak ia bertukar warna hitam. Tiap-tiap satu buah petai yang biasanya disebut sepapan petai mempunyai biji benih antara 12 - 18 biji. Biji inilah dimakan dan kadang-kadang dimakan dengan kulitnya sekali. Keenakan rasa petai bila jadikan masakan mahupun ulam tidak perlu diceritakan lagi kepada masyarakat Malaysia....
Pohon petai pula berkayu keras dan boleh digunakan untuk membuat peralatan seperti ulu cangkul, ulu parang dan sebagainya. Petai yang tumbuh liar di hutan, buahnya yang masak menjadi makanan burung, biasanya setelah buahnya masak, pohon petai hutan dikunjungi burung-burung seperti burung puling dan tiung .

Khamis, Jun 10, 2010

MEMPELAS

Dinamakan Akar Mempelas atau nama botaninya "tetrcera indica" adalah sejenis tumbuhan menjalar, hidup subur dengan memanjat tumbuhan lain di belukar dan hutan. Ia juga berbuah dan mengeluarkan bunga yang harum.
Akar dan daunnya bersifat kesat, boleh melukakan jka terkena kulit, pada masa dahulu daunnya digunakan oleh masyarakat Melayu untuk melicinkan hulu dan sarung keris.
Akarnya yang tua pula jika dipotong akan mengeluarkan air dan boleh diminum. Walau bagaimana pun akar mempelas tidak digunakan sebagai tali pengikat kerana ia amat rapuh dan mudah putus.

Selasa, Jun 08, 2010

BALEK ANGIN

Pokok Balek Angin tumbuh di pinggir hutan dan kawasan belukar berhampiran kampung. Pokok ini boleh mencapai ketinggian sehingga 1o meter, berkayu lembut dan menghasilkan buah yang cantik tetapi tidak boleh di makan.
Buah yang masak ranum akan pecah dan meninggalkan biji-biji keras berwarna hitam, ia menjadi makanan burung, satu cara fitrah alami biji benih ini disebarkan oleh burung-burung.
Dinamakan Balek Angin kerana sifat daunnya amat mudah dibalikkan oleh tiupan angin walau pun tiupan angin sepoi-sepoi bahasa. Begitulah sebahagian pokok-pokok diberi nama oleh leluhur kita berdasarkan sifatnya.

Khamis, Jun 03, 2010

HALBAN @ LEBAN

Halban juga dikenali sebagai Leban, nama botaninya Vitex Pubescens adalah sejenis tumbuhan hutan dan tumbuh meliar di pinggir kampung dan di tepi-tepi sungai. Ketinggiannya boleh mencapai sehingga 10 meter, kulitnya berwarna kelabu dan kayunya suatu masa dahulu sering digunakan untuk membuat peralatan tenggala, membuat anak tangga dan gasing. Sifat kayunya yang liat dan teguh, ditambah pula pokok halban jarang tumbuh melurus, sebaliknya batang dan dahannya cenderong tumbuh bengkok dengan berbagai bentuk menyebabkan ia amat sesuai dijadikan peralatan tenggala.
Halban juga mempunyai nilai perubatan di mana akar, daun dan kulitnya menjadi ramuan perubatan tradisional Melayu. Bunga halban tidak berbau harum, kemudian ia menghasilkan buah berwarna hijau, setelah masak ia bertukar ungu dan hitam.